BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

18 March 2010

:: Fenomena Astronomi Mac 2010 ::

Fenomena langit bagi bulan Mac mencuri tumpuan ahli astronomi professional dan amatur
kerana pada bulan ini planet Zuhal akan mengalami istiqbal (opposition) dengan Bumi. Pada
21 Mac ini Zuhal akan mengalami istiqbal dalam orbitnya. Istiqbal adalah kedudukan jasad
samawi di dalam sistem suria dalam keadaan bertentangan dengan Matahari atau sudut
longitud samawi adalah 180 darjah. Zuhal merupakan planet yang menarik kerana
mempunyai gelang dan merupakan planet yang kedua terbesar dan planet yang keenam di
dalam sistem suria. Pada kedudukan ini planet berkenaan berada paling hampir dengan Bumi
dan ia akan kelihatan lebih besar dan cerah. Zuhal menggalami Istiqbal setiap 378.1 hari.
Zuhal berada paling hampir dengan Bumi pada Istiqbal tahun ini dengan jarak 8.5038 unit
astronomi ( 1 unit astronomi ialah jarak Bumi-Matahari, 150 juta kilometer). Ia akan
kelihatan paling cerah dengan magnitud +0.5. Walau bagaimanapun kali ini gelangnya
kelihatan nipis kerana sudut kecondongan paksi terhadap satah orbitnya adalah kecil. Dalam
bulan ini Zuhal berada di dalam buruj Virgo, ia boleh dilihat dengan mata kasar dan jika
menggunakan binokular atau teleskop kecil ia akan kelihatan lebih jelas. Bagaimana hendak
mengenali Zuhal di langit? Lakukan cerapan pada 1 Mac sekitar 10 malam, anda akan
melihat bintang berwarna kekuningan berada pada 10 darjah di bawah Bulan. Itu bukan
bintang tetapi planet Zuhal. Bulan pada malam ini kelihatan seperti Bulan purnama. Zuhal
boleh dilihat di langit malam sepanjang bulan ini. Pada pertengahan Mac ia berada semakin
tinggi di langit dalam buruj Virgo. Spica adalah bintang yang cerah dalam buruj ini. Pada jam
10 malam hari Istiqbal, Zuhal boleh dilihat di langit Timur pada ketinggian separuh langit
atau altitud 42 darjah dari ufuk. Pada penghujung Mac, 29 haribulan pada jam 10 malam,
Zuhal berada pada 10 darjah di kiri Bulan purnama.

  • Planet Zuhal
Selain planet Zuhal, planet Zuhrah turut mengisi ruang langit Mac. Planet yang kedua dari
Matahari ini mudah dikenali kerana kecerahannya. Pada awal Mac ia boleh dilihat di ufuk
Barat selepas Matahari ghurub. Ia kelihatan seperti satu bintang yang sangat terang pada
altitud 11 darjah dari ufuk. Zuhrah boleh dilihat sepanjang Mac ini, rendah di ufuk Barat
selepas Matahari ghurub. Pada 3-4 Mac, Zuhrah kelihatan berhampiran dengan Uranus,
planet yang kelapan dari Matahari. Dengan menggunakan binokular atau teleskop kecil
kedua-dua planet ini akan dapat dilihat bersebelahan dengan jelas.
Mulai 15 haribulan hingga akhir Mac planet Utarid pula menghiasi langit. Utarid diantara
planet yang sukar untuk dilihat kerana ia hanya boleh dilihat rendah di ufuk Timur atau Barat
sebelum atau selepas Matahari ghurub. Pada 29-31 Mac ia boleh dilihat berdekatan dengan
planet Zuhrah di ufuk Barat selepas Matahari ghurub. Pada tarikh tersebut Utarid berada di
bawah Zuhrah pada altitud 11 darjah dari ufuk.


Planet Marikh atau planet merah menguasai langit malam Mac ini kerana ia sentiasa berada
di langit setiap malam hingga ke akhir bulan. Pada 10.00 malam awal Mac ia berada tinggi
di tengah langit. Pada 25 Mac planet ini berdampingan dengan Bulan ketika ia terbit di
Timur pada jam 3.13 petang. Pada 9.20 malam kedua-duanya berada di tengah langit pada
sudut pisahan 4 darjah sehingga mereka ghurub di Barat pada jam 3.30 pagi.
Pada16 Mac Bulan mengalami ijtimak (new moon) pada 05:02 pagi. Dalam sistem taqwim
Islam, awal bulan ditentukan dengan kenampakan hilal. Hilal adalah fasa Bulan yang berlaku
selepas Ijtimak. Hilal pada 16 Mac ini adalah hilal Rabiul Akhir 1431 dan ia berada pada
altitud 2.7 darjah ketika Matahari ghurub di ufuk Barat. Hilal pada kedudukan ini sukar
dicerap kerana berada rendah di ufuk. Pada 17 Mac hilal lebih mudah dicerap kerana
altitudnya lebih tinggi dan jika cuaca ufuk cerah.
Pada 21 Mac Matahari akan melintasi khatulistiwa Bumi dan keadaan ini dinamakan
ekuinoks. Semasa ekuinoks panjang siang dan malam hampir sama di seluruh Bumi kerana
Matahari berada di khatulistiwa.
Beberapa buruj menarik turut menghiasi langit seperti yang ditunjukkan dalam peta bintang
Mac 2010. Di langit utara terdapat buruj Ursa Major (beruang besar) atau dinamakan juga
buruj Biduk, ia mudah dikenali kerana mempunyai bintang-bintang yang cerah seperti Mizar,
Merak dan Dubhe. Buruj ini lazimnya digunakan sebagai panduan menentukan arah utara.
Buruj Leo atau Singa turut mengisi langit Utara. Ia terletak berdekatan dengan buruj Gemini.
Terdapat satu bintang yang cerah di dalam buruj ini iaitu Regulus yang bermaksud putera
dalam bahasa Latin atau Qalb Al Asad (hati singa) dalam bahasa Arab. Ia merupakan sistem
bintang berganda yang terletak sejauh 77.5 tahun cahaya dari Bumi dan mempunyai 3.5 kali
ganda jisim Matahari. Buruj Orion masih berada di langit Mac tetapi ia semakin rendah di
langit sebelah barat dan terbenam di ufuk Barat selepas tengah malam.

Buruj Ursa Major atau Biduk boleh dilihat di langit Utara bulan ini.
Di langit selatan pula terdapat buruj Crux atau dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai
buruj pari yang menjadi panduan menentukan arah selatan. Selain itu buruj Carina masih lagi
menghiasi langit selatan bulan ini. Buruj ini mengandungi bintang Canopus atau Suhail
(dalam bahasa Arab), bintang paling terang di langit selatan. Kecerahannya 15,000 kali ganda
dari Matahari.
Pada 7 Mac merupakan waktu terbaik untuk mengenali buruj Scorpio kerana pada tarikh ini
Bulan pada fasa suku akhir akan terbit bersama-sama dengannya di ufuk Timur selepas
tengah malam. Antares adalah bintang bersaiz besar berwarna merah dan paling terang
dalam buruj ini. Ia berada di bawah Bulan pada pisahan sudut 3 darjah. Pada jam 6.30 pagi
mereka akan berada tinggi di tengah langit selatan.
Galaksi Bima Sakti menghiasi langit malam Mac dengan merentasi dari langit Tenggara
hingga ke Barat-laut. Galaksi ini dianggarkan mengandungi 400 billion bintang . Galaksi ini

boleh dilihat dengan mata kasar dalam keadaan langit yang tidak berawan dan tidak disinari
cahaya Bulan atau cahaya lampu. Pada 7-22 Mac langit tengah malam tidak mempunyai
cahaya Bulan sesuai untuk mencerap galaksi Bima Sakti. Dengan mata kasar galaksi ini akan
kelihatan seperti jaluran awan yang nipis merentasi langit.
Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang seperti di
sertakan. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj dan galaksi Bima Sakti. Saiz
bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang
besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud kurang
dari 4.
Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal
Mac, 9.00 malam di pertengahan Mac dan 8.00 malam di akhir Mac. Planet yang ditunjukkan
untuk pertengahan Mac.


  • Panduan cerapan langit malam menggunakan peta bintang;

Cerapan langit utara
i. Berdiri menghadap arah Utara.
ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan
tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah
peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.
Jika mencerap diawal bulan, jam 10.00 malam anda akan dapati bintang Procyon yang di
tengah peta bintang adalah bintang di atas kepala. Buruj Ursa Major akan dapat dilihat
berada pada altitud 2-10 darjah di langit Timur-laut. Mulakan mengenali bintang dengan
bintang yang cerah dan mudah dikenali. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan
buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

i. Berdiri menghadap arah selatan.
ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan
tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang.
Pastikan
tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan
sebenar.
Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau
mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman.
Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan
lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan
gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.



WAALLAHUA3LAM


0 comments: