“Saya pernah sangat membenci ustaz” kata seorang anak muda.
“Sekarang bagaimana?” saya bertanya.
“Insya Allah tidak lagi” jawabnya.
“Alhamdulillah. Maafkan ustaz atas sebab-sebab yang pernah menyebabkan anta begitu membenci ustaz” saya memberi tumpuan kepada perbualan.
“Tak mengapa. Ustaz tidak bersalah” ujarnya pula.
“Boleh ustaz tahu kenapa ketika itu anta begitu membenci ustaz?” saya ingin belajar sesuatu.
“Kekasih saya mengambil tindakan memutuskan perhubungan kami kerana membaca buku ustaz” jawab beliau.
Saya terdiam.
“Ini bukan kejadian pertama. Sudah beberapa kali berlaku. Malah ada juga suami yang menghubungi ustaz, mengeluh kerana buku ustaz telah menyusahkan hidupnya. Tetapi itu tidak pernah menjadi niat ustaz. Tidak pernah dalam hidup, terfikir untuk menyusahkan sesiapa atau memporak perandakan hidup orang lain” saya memberikan penjelasan.
Sedikit kesal.
“Saya faham ustaz. Malah saya tahu yang ustaz tidak pernah bermaksud begitu. Ustaz hanya melontarkan bahan untuk berfikir. Tindakannya, terserah kepada pembaca,” ujar beliau.
Benar.
Jarang sekali tulisan saya bertindak untuk membuat keputusan bagi pihak orang lain. Biar pun ada sesetengah perkara itu halal dan haramnya sudah jelas, tetapi mengambil ruang untuk mengajak manusia berfikir, adalah lebih dekat dengan semangat al-Quran. Apatah lagi mahu mempertimbangkan soal cinta dan perasaan dengan keputusan. Bimbang halal dan haram tidak diberi penghormatan hanya kerana manusia dan mindanya belum cukup dirangsang untuk menerima.
Bagi yang masih solo, andai mahu berjinak-jinak mencari teman, saya sediakan banyak buah fikiran untuk pertimbangan. Fikir dahulu masak-masak, renungkan kesan buruk dan kesan baiknya, pertimbangkan dahulu jalan pendek dan jalan panjangnya. Jika fikiran sudah cukup menghadam realiti, mustahil diri mampu untuk mengambil risiko andai api lilin sudah cukup pedih untuk disentuh.
Bagi yang sudah berada di tengah jalan, sama ada mahu meneruskan perhubungan atau menamatkannya separuh jalan, biarlah keputusan itu hasil pertimbangan akal fikiran. Kalau teruskan, jangan lupa pada batasan. Jangan sampai tiada masa jangkaan, Jangan sampai tidak jejak ke alam pernikahan. Namun jika diri tidak bersedia untuk dibebankan oleh hijab yang wajib membataskan hubungan, langsaikan hubungan hasil persefahaman. Jangan kawan menjadi lawan, jangan maaruf yang dikejar melahirkan mungkar yang lebih besar.
Sebagai da’ie, saya tidak di posisi menghukum.
Sebaliknya mengajak mad’u berfikir, agar sebelum hukum menghukum, jiwa sudah bersedia untuk mempositifkannya.
“Tetapi mungkin apa yang berlaku ini, adalah cara Allah menunjukkan kasih sayang-Nya kepada kita. Kepada anta” saya menyambung kata.
“Kenapa?” tanya beliau.
“Apabila anta datang berjumpa dengan ustaz, jujur menyuarakan dendam anta kepada ustaz, sedia memaafkan malah sedia pula meminta maaf, itu sudah cukup besar untuk ustaz dan ustaz menghargainya. Tetapi dengan putusnya hubungan antara anta dan dia, Allah seperti mahu membebaskan anta daripada terus bercinta dengan seorang perempuan yang tidak yakin bahawa suatu hari nanti anta mampu berubah. Dia mungkin beruntung, tetapi anta pasti tidak rugi” saya cuba mencari sisi cerah daripada apa yang telah berlaku.
Andai jihad dan peperangan itu pun, menyimpan rahsia kebaikan yang terselindung oleh sangkaan manusia pada bencinya, apatah lagi ketika jihad peribadi pada melepaskan kehendak nafsu dan diri.
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [al-Baqarah 2: 216]
Ya Allah, pada keluhuran jiwa anak muda itu menerima ketentuan-Mu, menghapuskan dendam lagi memaafkan dirinya dan diriku, aku dengan penuh rasa kehambaan pada jiwa yang berhajatkan-Mu, memohon kepada-Mu untuk memelihara hati anak muda itu dan rakan-rakannya, menjadikan mereka benci kepada kekufuran, kefasiqan dan maksiat, serta mengasihi iman dan kebaikan. Hadiahkanlah kepadanya pasangan hidup yang mulia lagi bertaqwa demi berpanjangannya kebaikan buat beliau, dan kami semua, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment